Bagi menjamin supaya urusan hidup ini terarah menurut lunas-lunas Islam maka sewajarnya difahami dan dihayati beberapa kewajipan, iaitu:
1. Mengetahui matlamat hidup. Sebagaimana Firman Allah SWT:
“Dan tidak Aku menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka mengabdikan diri (kepadaKu).- Surah az-Zariyat: ayat 56
2. Mamahami nilai dunia berbanding dengan nilai akhirat.
Firman Allah SWT:
“Hai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya apabila dikatakan kepada kamu: “Berangkatlah (untuk berperang) pada jalan Allah, kamu berasa berat dan ingin tinggal di tempat kamu ? Apakah kamu berpuas hati dengan kehidupan dunia sebagai ganti kehidupan akhirat? Pada hal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan akhirat) hanyalah sedikit.”- Surah at-Taubah: ayat 38
3. Mengetahui hakikat kematian dan mengambil pengajaran daripada kematian yang pasti berlaku kepada setiap manusia sebagaimana Firman Allah SWT:
“Tiap-tiap yang berjiwa akan menemui mati.”
- Surah Ali ‘Imran: ayat 185
4. Mengetahui benar-benar akan hakikat Din al-Islam dengan cara mempelajari dan mendalami dasar-dasar dan hukum-hakamnya.
5. Mengetahui hakikat jahiliyyah, iaitu dengan meneliti ciri-ciri pemikiran, aliran dan perancangannya. Di samping itu, mendedahkan akibat serta keburukan Jahiliyah. Dengan memahami Jahiliyyah barulah orang-orang beriman tidak terperangkap ke dalam jaring-jaringnya. Ini selaras dengan sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:
“Sesiapa yang mempelajari bahasa sesuatu kaum, ia terselamat dari tipu daya mereka.”